sEkUmiT tIntA sEdiKit kAta sEcUkuP rAsa

I have learned silence from the talkative, toleration from the intolerant, and kindness from the unkind; yet, strange, I am ungrateful to those teachers.

Thursday, December 15, 2011

masuk jawi

Dia tunduk. Fikirannya berkeceramuk. Peluh jantannya menggila. Jantungnya berdegup kencang, rancak berirama debar. Langkahnya lemah. Seperti beribu beban berpaut pada kudrat kakinya.

Dari semalam dia tidak tidur. Matanya enggan lelap. Memikirkan hari ini.

Pagi itu ayah mengejutkannya bangun. Lembut. Tiada pula suara keras seperti selalu. Dia bangun dan mengusap-usap mata. Walhal tidak sekelumit pun semalam pernah dipejamkannya. Mama seperti selalu. Di tempat daerah jajahannya. Di situlah mama sejak menikahi ayah. Setia menyediakan kami dengan segala macam hidangan. Kalau mahu dihimpun resepi mama, mungkin telah menggunung tinggi tebalnya.

Langkahnya dihayun perlahan. Sempat anak matanya meleret ke arah baju melayu yang sedia tergantung. Sudah bergosok. Kemas.

Dia memerhatikan dari matanya ke pentas dunia. Sekalian umat dengan urusan sendiri. Hari ini adalah seperti biasa. Tiada apa yang berbeza. Tiada Raja turun bersawah. Tiada garuda memburu mangsa. Tapi bukan bagi dia. Ketakutannya luar biasa. Kerisauannya kepalang. Teringat kata teman. Hal kesakitan yang tidak terperi. Hal pisau diganti gergaji.

Digagahi kakinya melangkah. Dia gugup. Ah. Hati. Tolonglah jangan begini.

Sejenaknya melangkah ke bilik itu, dilihatnya doktor sedia menanti. Diarahkannya berbaring. Sempat juga doktor bertanyakan beberapa kerat soalan, namun tidaklah dia mengambil peduli.

Kemudian berkata – Alhamdullillah, selamat sudah.

Kepada adik-adiknya baru menjengah ke dunia lelaki.
Selamat datang.



Saturday, December 3, 2011

menulis cinta dengan dakwat restu


Dunia berputar atas paksi cinta. Hidup adalah sebuah naskah. Hari seperti membuka helaian baru yang penuh keterujaan. Dan seperti melahap sebuah naskah, memulakan bab baru adalah kemuncak keghairahan.

Selamat bertunang.
Pada diri dan pari-pari.

Friday, May 21, 2010

Perihal: Bodek

Budaya membodek telah lama berakar umbi dalam dunia melayu. Ianya lalu hidup subur dan kembang mekar dibaja sikap melayu – nak kerja senang, nak kaya cepat.


Lucu dan anehnya dapat dirasa tanpa perlu menerjah rentetan kisah melayu melaka, cukuplah sekadar bermula di era Mahathir dan legasi Wawasan 2020. Radio dan peti televisyen semuanya mendendangkan lagu wawasan. Setiap butir kata and pendapat yang disiar cuma madah enak memuji bertapa jauhnya pandangan Menteri Perdana. Dengan wawasan, Melayu kan berdiri gagah, Berkokok riang megah seperti si jantan.


Lalu ditemuduga pegawai, soalan yang wajib ditanyanya – 9 Cabaran Wawasan 2020. Maka dihafal setia butir, tanpa ada ditinggal barang sebutir, walau hatinya tidaklah dia pernah faham atau mengerti. Menghafalpun sudah satu cabaran baginya.


Lalu melarat ke bangku sekolah. Melentur buluh. Dari karangan esei bahasa melayu hingga tema pendidikan seni. Budak yang setahun jagung, disuruh menggambarkan wawasan, dilukisnya kereta terbang, ditulisnya makhluk terbang.


Ya benar. Satu pandangan jauh. Mesti mustahil pandangan tanpa satupun loret cacat. Tapi tiada yang berani melontar kata, hatta katanya mungkin paling bernas. Semuapun pasti berfikir, memberi pendapat itu satu kritikan, yang kritikan bakal menggelapkan misi – Nak kerja senang, nak kaya cepatnya. Lalu diamlah lebih baik baginya seolah berkata itu akan terpenggallah masa depannya. Nyatalah Mahathir itu sungguh agung, walaupun dikepalanya tiadalah terpakai tengkolok.


Berjangkitlah pula ke zaman Abdullah. Dilupa sudah segala wawasan. Yang dulu disayang, sekarang dibenci. Dulu dipuji sekarang dikeji. Kerana Mahathir tak lagi berjawat. Dulu perdana sekarang hanya mantan. Dulu dikalung bunga, sekarang mahu dikalung selipar. Aneh. Tiada satu pun bangkit membela. Mereka mudah lupa. Atau buat-buat lupa.


Rakyat disuntik dengan pelali Hadhari. Bukan kah Islam yang dibawa Rasul cumalah satu? Tidakkah Islam sememangnya membenarkan kemajuan? Bukahkah sudah cukup mazhab yang empat? Maka kenapa diperlukan lagi Islam Hadhari? Adakah Islam yang dulu masih kurang sengat progresifnya?


Maka berbalik ke temuduga. Tiada lagi 9 Cabaran. Diganti pula pengertian hadhari. Ramai yang gila menghafal. Setiap butir tanpa gagal. Seolah ilmuan hadis yang terkenal, tapi bagi yang kenal, sebenarnya rukun iman pun tak dihafalnya.


Utara selatan timur dan barat. Segalanya dipagar dengan koridor. Dalam diisi segala tumbuhan. Tiadalah salah idea yang baru, tetapi kenapa dihentikan yang dulu?


Namun tiada yang berani memberi pendapat. Tiap yang berani bakal gelap pangkatnya, kempislah sakunya. Diam atau tanamlah tebu. Di tepi bibir!


Merebak pula ke Satu Malaysia. Gampak gempita manusia berkata. Tentang bagaimana mahu bersatu. Rambut sama hitam, tapi hati masih pentingkan bangsa yang satu. Hak dan batil. Mungkinkah dapat bersatu?


Hatta semuapun tahu, tiada yang sempurna kecuali Allah. Masih tiada yang menegur, mahu mengkritik, walau semuapun tahu yang sudut cerah kritakan sebenarnya terkandung seribu satu macam penambahbaikan dan sarat dengan idea segar yang kritis.


Melayu tak lagi berdiri kerana benarnya, dia sekarang tunduk, diam dan bisu, walau dirinya betul dan bosnya berkata sampah. Dia tegar memegang prinsip – bos semestinya betul. Bodek dan terus kipas.

Friday, February 19, 2010

Erti sebuah kesetiaan



“I’ve been waiting for this day since I was a kid. Everyone knows I am a massive Liverpool fan, so to be sitting here today in a Liverpool tracksuit is a dream come true.”

- Robbie Keane, Jun 2008.

Keane berhijrah ke Liverpool dari Tottenham dengan yuran perpindahan sebanyak £1.3 million. Keane kemudian menyarung jersi no 7 yang pernah dipakai oleh lagenda Liverpool, Kenny Dalglish dan Kevin Keegan. Gol pertama Keane bersama Liverpool adalah ketika menentang PSV Eindhoven – 1 October 2008, Liga Juara-Juara.

Kurang 6 bulan selepas berhijrah ke Liverpool, pada January Transfer Window, Keane kembali ke kelab lamanya, Tottenham.

Dengan lambakan penyerang di Tottenham, Keane bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama dalam skuad. Keane kemudian dipinjamkan ke Celtic (juga bekas kelab sebelum Keane menyertai Tottenham).

"This is a dream for me. It's no secret that I'm a Celtic fan and I always wanted to play for them since I was a kid."
- Robbie Keane, February 2010.

Nanti apabila Keane menyertai Perak, maka tidak mustahil, Keane akan mengeluarkan kenyataan seperti berikut:

“Ate, teman memang dari kecik lagi udah sokong dengan Perak. Dapat main dengan Perak ini, macam mimpi jadi kenyataan la."

Keane oh Keane!

Wednesday, December 16, 2009

desperado~

Sekarang musin orang kawen. Mana-mana pun telinga dengar kompang, hidung bau nasi minyak. Bunga telur penuh rumah, bunga rampai penuh kat simpang-simpang.

Kad kawen kawan-kawan pun dah dapat banyak keping.
Apapun kawen bukanlah satu perkara yang dapat difikirkan semalamnya. Bayangkanlah, orang th la nanti nak tengok hari-hari. Buka-buka mata nampak dia. Pejam mata pun masih mimpi dia. Moga sampai mati pun masih disisi dia.

Dia la yang nak jadi ibu pada anak-anak, suri dalam rumah, ratu dalam hati dan yang paling utama, puteri dalam sanubari.


Kata orang kampung saya,

Perkahwinan adalah satu lukisan bernyawa. Ianya boleh menjadi satu potret indah puisi syurga. Juga boleh manjadi satu naskah ngeri berlatar neraka.


video


Selamat pengantin baru kawan-kawan. Moga sentiasa bahagia. Dan moga-moga isteri korang takde tangan transformer. Hahaha.

Sunday, December 13, 2009

26 Zulhijjah

Hari ini 26 Zulhijjah adalah hari jadi saya.
Sila ucap happy b'day.
yeay!

Saturday, November 14, 2009

Cita-Cita Kecil Si Anak Desa : Karya Ebiet untuk Ezzanie?

video

Aku pernah punya cita-cita hidup jadi petani kecil
Tinggal di rumah desa dengan sawah di sekelilingku
Luas kebunku sehalaman kan kutanami buah dan sayuran
dan di kandang belakang rumah
Kupelihara bermacam-macam peliharaan


Ini memang pernah berlaku dalam hidup ezzanie. Sewaktu kelas pendidikan seni darjah tiga, tiap kali ezzanie dikehendaki melukis pemandangan, maka temanya mestilah desaku yang indah permai dengan sawah padi yang terbentang luas.

Tetapi baris terakhir sekali sangat jelas ditujukan pada ezzanie, ezzanie sememangnya bercita-cita memternak kambing. Dengan ini bolehlah tetiap hari makan kambing.

Masih belum yakin lagi lagu ini ditujukan pada ezzanie? Ok, kita ikuti bait-bait seterusnya.



Aku pasti akan hidup tenang
Jauh dari bising kota yang kering dan kejam
Aku akan turun berkebun mengerjakan sawah ladangku sendiri
Dan menuai padi yang kuning bernas
Dengan istri dan anakku
Memang cita-citaku sederhana
Sebab aku terlahir dari desa


Bait-bait ini memperlihatkan sifat-sifat ezzanie. Seorang yang zuhud dengan cita-cita yang sederhana dan familyman.


Istriku harus cantik, lincah dan gesit
Tapi ia juga harus cerdik dan pintar


Bagai pinang dibelah dua. Haruslah sama cantik, sama padan dengan ezzanie yang kacak.
(Wah, banyaknya syaratnya.)


Siapa tahu nanti
Aku kan terpilih jadi kepala desa
Kan kubangkitkan semangat rakyatku
Dan kubangun desaku
Desaku pun pasti mengharap aku pulang

Sebagai Ketua Belia 4B di kampungnya, sudah tentulah ezzanie mempunyai peluang yang luas untuk dilantik mengepalai kampungnya. Ezzanie juga menunjukkan bakap kepimpinannya dengan bertindah sebagai Imam backup dikampungnya. Dengan semua sifat terpuji yang telah ditunjukkan, tidak hairanlah kehadirannya di kampungnya sangat-sangatlah dinantikan dan diraikan.



Akupun rindu membasahi bumi dengan keringatku
Tapi semua itu hanyalah tergantung padaNya jua
Tapi aku merasa bangga setidak-tidaknya ku punya cita-cita
Tapi aku merasa bangga setidak-tidaknya ku punya cita-cita


Bait akhir sekali lagi ditekankan sifat zuhud ezzanie. Berbangga dengan cita-citanya walaupun sederhana.

Jelas. Tanpa ragu. Cita-cita kecil si anak desa adalah karya ebiet untuk ezzanie.
Peace.