sEkUmiT tIntA sEdiKit kAta sEcUkuP rAsa

I have learned silence from the talkative, toleration from the intolerant, and kindness from the unkind; yet, strange, I am ungrateful to those teachers.

Friday, May 21, 2010

Perihal: Bodek

Budaya membodek telah lama berakar umbi dalam dunia melayu. Ianya lalu hidup subur dan kembang mekar dibaja sikap melayu – nak kerja senang, nak kaya cepat.


Lucu dan anehnya dapat dirasa tanpa perlu menerjah rentetan kisah melayu melaka, cukuplah sekadar bermula di era Mahathir dan legasi Wawasan 2020. Radio dan peti televisyen semuanya mendendangkan lagu wawasan. Setiap butir kata and pendapat yang disiar cuma madah enak memuji bertapa jauhnya pandangan Menteri Perdana. Dengan wawasan, Melayu kan berdiri gagah, Berkokok riang megah seperti si jantan.


Lalu ditemuduga pegawai, soalan yang wajib ditanyanya – 9 Cabaran Wawasan 2020. Maka dihafal setia butir, tanpa ada ditinggal barang sebutir, walau hatinya tidaklah dia pernah faham atau mengerti. Menghafalpun sudah satu cabaran baginya.


Lalu melarat ke bangku sekolah. Melentur buluh. Dari karangan esei bahasa melayu hingga tema pendidikan seni. Budak yang setahun jagung, disuruh menggambarkan wawasan, dilukisnya kereta terbang, ditulisnya makhluk terbang.


Ya benar. Satu pandangan jauh. Mesti mustahil pandangan tanpa satupun loret cacat. Tapi tiada yang berani melontar kata, hatta katanya mungkin paling bernas. Semuapun pasti berfikir, memberi pendapat itu satu kritikan, yang kritikan bakal menggelapkan misi – Nak kerja senang, nak kaya cepatnya. Lalu diamlah lebih baik baginya seolah berkata itu akan terpenggallah masa depannya. Nyatalah Mahathir itu sungguh agung, walaupun dikepalanya tiadalah terpakai tengkolok.


Berjangkitlah pula ke zaman Abdullah. Dilupa sudah segala wawasan. Yang dulu disayang, sekarang dibenci. Dulu dipuji sekarang dikeji. Kerana Mahathir tak lagi berjawat. Dulu perdana sekarang hanya mantan. Dulu dikalung bunga, sekarang mahu dikalung selipar. Aneh. Tiada satu pun bangkit membela. Mereka mudah lupa. Atau buat-buat lupa.


Rakyat disuntik dengan pelali Hadhari. Bukan kah Islam yang dibawa Rasul cumalah satu? Tidakkah Islam sememangnya membenarkan kemajuan? Bukahkah sudah cukup mazhab yang empat? Maka kenapa diperlukan lagi Islam Hadhari? Adakah Islam yang dulu masih kurang sengat progresifnya?


Maka berbalik ke temuduga. Tiada lagi 9 Cabaran. Diganti pula pengertian hadhari. Ramai yang gila menghafal. Setiap butir tanpa gagal. Seolah ilmuan hadis yang terkenal, tapi bagi yang kenal, sebenarnya rukun iman pun tak dihafalnya.


Utara selatan timur dan barat. Segalanya dipagar dengan koridor. Dalam diisi segala tumbuhan. Tiadalah salah idea yang baru, tetapi kenapa dihentikan yang dulu?


Namun tiada yang berani memberi pendapat. Tiap yang berani bakal gelap pangkatnya, kempislah sakunya. Diam atau tanamlah tebu. Di tepi bibir!


Merebak pula ke Satu Malaysia. Gampak gempita manusia berkata. Tentang bagaimana mahu bersatu. Rambut sama hitam, tapi hati masih pentingkan bangsa yang satu. Hak dan batil. Mungkinkah dapat bersatu?


Hatta semuapun tahu, tiada yang sempurna kecuali Allah. Masih tiada yang menegur, mahu mengkritik, walau semuapun tahu yang sudut cerah kritakan sebenarnya terkandung seribu satu macam penambahbaikan dan sarat dengan idea segar yang kritis.


Melayu tak lagi berdiri kerana benarnya, dia sekarang tunduk, diam dan bisu, walau dirinya betul dan bosnya berkata sampah. Dia tegar memegang prinsip – bos semestinya betul. Bodek dan terus kipas.

3 Comments:

Anonymous princess said...

thumb up!

May 24, 2010 at 8:04 AM  
Blogger kaerrow said...

Sokokng 100%..huhu..Dh lama aku nk dengar org berkata sebegini..
Pandangan yang amat bernas kwn..

May 30, 2010 at 9:11 PM  
Blogger Jaffrey said...

Truth hurts.

Best one bro.

June 19, 2010 at 1:21 AM  

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home